Ujian Bertulis Untuk Lesen PSV dimansuhkan

Tiada lagi ujian lesen PSV untuk calon. Hanya perlu menduduki kelas teori sebelum Lesen PSV dikeluarkan

Ujian bertulis untuk Lesen PSV dimansuhkan serta-merta mulai 10 April 2023, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Walaubagaimanapun, pemohon perlu menghadiri dan melengkapkan kelas teori sedia ada sebelum lesen tersebut dikeluarkan.

“Bagi memudahkan pemohon, ini adalah sebahagian daripada penambahbaikan prosedur Lesen PSV.

“Ini sesuatu yang baharu untuk memudahcarakan pemohon. Apa yang ditekankan adalah mereka mengambil kelas tetapi tiada ujian teori.

“Banyak keluhan yang diterima daripada syarikat pengendali dan pemandu e-hailing kerana mereka terpaksa menunggu untuk mengambil ujian.

“Sekarang kita kecualikan ujian teori, hanya ambil kelas PSV, itupun boleh buat secara dalam talian.

“Mereka akan diberi lesen PSV secara digital setelah mereka siap kelas teori” katanya pada 10 April 2023.

Namun calon bagi kategori lesen PSV untuk bas masih wajib melalui latihan dan lulus ujian amali sebelum mendapat Lesen Vokasional, kata Anthony Loke.

“Tiada lagi ujian teori, apa yang penting ialah cara mereka memandu, kita nak uji praktikal mereka,” ujarnya.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Memandu (IM) atau syarikat perniagaan pengantaraan yang berkelayakan menyediakan platform untuk membenarkan kelas teori Lesen PSV secara atas talian.

Tempoh masa kelas teori sedia ada masih dikekalkan.

Pihak berkaitan seharusnya menggunakan silibus kelas teori Lesen PSV atas talian yang ditetapkan oleh JPJ sepenuhnya.

Syarat-syarat dan peraturan berkaitan kelayakan penyediaan platform atas talian akan ditetapkan oleh pihak JPJ untuk mengawal selia kelas teori bagi memastikan kesahihan dan integriti calon.

“Bagi membolehkan Lesen PSV dikeluarkan secara terus kepada calon tanpa memerlukan kehadiran secara fizikal ke kaunter JPJ, maklumat calon akan diintegrasi dengan sistem MySIKAP” jelasnya.

Silibus kelas teori akan disemak semula dan ditambah baik oleh JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan mendapatkan maklumat supaya relevan dari semasa ke semasa daripada pihak industri.

Katanya, dalam tempoh enam bulan penambahbaikan silibus dan dimuktamadkan.

Maklumat lanjut berkaitan Lesen PSV Grab, klik disini.